Sunday, 9 December 2012




Cikgu Abdul Majid Bin Mat Isa, dilahirkan pada 31 Disember 1939. Berasal dari Kerabat Diraja Jembal (Kerajaan Tua Negeri Kelantan Lama) dan tinggal Kg Kepala Bukit, Gurun, Kedah Darulaman. Mula bergiat dalam Seni Silat Gayung pada 20hb Jun 1956, melalui Mahaguru Meor Abd Aziz, Daing Uda Mohd Hashim (Bapa) serta Tuan Guru Haji Hussain Dol (seorang alim ulama).
Beliau merupakan Pengasas dan Guru Utama Pertubuhan Silat Seni Pusaka Gayong Malaysia setelah ditubuhkan 1978 kerana jawatan Gurulatih Kanan PSSGM beliau dilucutkan oleh Mahaguru ekoran berlakunya fitnah ke atas beliau. walaubagaimanapun, hubungan beliau dengan mahaguru tidak pernah berubah dan pihak PSSPGM tidak pernah menafikan Dato' Meor Abdul Rahman sebagai Mahaguru.  
Beliau telah diarahkan oleh Mahaguru Meor Abd Rahman (adik Mahaguru Abd Aziz) dan Allahyarham Dato' Oon Jaafar mendalami ilmu persilatan ini di pusat latihan Seni Silat Gayung School Wood Land Singapura pada tahun 1959, selama setahun. Setelah segalanya selesai beliau pulang ke Kedah dan menjadi jurulatih di sana sebagai Guru Tertinggi pada tahun 1960.
Pada penghujung tahun 1961 sekali lagi beliau ke Singapura mendalami ilmu bermain senjata (keris) dan pada pertengahan 1962, beliau pulang semula ke Kedah dan di sini beliau melatih murid-murid bermain senjata sehingga kini. Tempat-tempat yang pernah beliau ajar seperti di Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Terengganu, Kelantan, Selangor, Perak, Perlis, Penang dan Medan Indonesia. Beliau mempunyai anak seramai 10 orang (7 lelaki dan 3 perempuan)

Kata-kata Cikgu Abdul Majid Bin Mat Isa:

Orang yang menyalah guna ilmu persilatan akan dilaknat ikrar yang dilafazkannya, kata pengasas Pertubuhan Silat Pusaka Gayong Malaysia, Cikgu Abdul Majid Mat Isa.

“Pesilat sentiasa berwuduk, baca ayat surah at-Taubah dan bersumpah laknat. Sebab itu tak boleh tunjuk lagak.

“Ilmu silat ada pantang-larangnya. Kalau berlagak, kita tak selamat. Allah yang akan balas,” katanya.




Cikgu Majid adalah Pengarah dan Gurulatih Utama Pusaka Gayong Malaysia masih mengekalkan gelaran ‘Cikgu’ meskipun beliau bertaraf mahaguru dalam dunia persilatan.

Beliau adalah murid kanan pengasas Gayong Malaysia, Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman.

Kata Cikgu Majid, silat untuk mempertahan diri jika diancam, bukannya untuk menyerang orang yang tidak bersalah dan tidak bersenjata.

“Jangan sengaja tunjuk kelebihan. Saya keluarkan arahan kepada semua guru Gayong dan anak buah, jangan sembarangan tunjuk lagak.

“Mereka yang melakukan kesalahan wajib bertaubat,” katanya.

No comments:

Post a Comment